Monday, 21 August 2023

Kisah 100x ketuk ketampi

In learning you will teach, and in teaching you will learn
-Phil Collins-


Aku nak ceritakan satu kisah yang bagi aku ia sedikit sebanyak mencabar ego, memberi aku celik akal dan perasaan yang bercampur baur. Ini kisah aku...........

    Untuk pengetahuan kalian sekarang ni aku kerja sebagai guru kafa di sekolah rendah di satu daerah ini dan baru bekerja kurang dari dua tahun. Buat masa sekarang aku ditugaskan untuk mengajar murid darjah dua sahaja. Sini aku kenalkan pada kalian dengan murid aku dimana isu yang dihadapi oleh kami telah mencetuskan kisah 100x ketuk ketampi ni. Aku kenalkan beliau sebagai murid K. Perwatakkan murid K ni agak pendiam, cuma bising pada waktu tertentu sahaja, bagi aku dia seorang budak yang mudah dijaga dan boleh mendengar kata. Mungkin dia bersikap begitu kerana takutkan aku agaknya. Walaupon beliau kelihatan pendiam tetapi beliau juga merupakan pelajar yang agk nakal dan suka bergurau kasar. Antara kesalahan yang pernah beliau lakukan ialah mengejek kawan-kawan, mencarut dan juga pernah menanggalkan seluar di dalam kelas dengan alasan beliau hanya bergurau sahaja. Kehidupan murid K ni aku boleh letakkan sebagai golongan t20. Ibu bapanya orang yang berpelajaran dan bekerja dalam bidang profesional macam tu.

    Alkisahnya, cerita ni jadi pada 2 minggu lepas dimana ia bermula apabila murid K ni hadir ke sekolah lewat 35 minit. Kelas kami akan bermula pada pukul 2 petang dan tamat pada pukul 5 petang. Memandangkan beliau lambat masuk kelas jadi perkara ini membuatkan aku sebagai cikgu beliau naik angin. Isu ini bukan sekali dua malah hampir setiap hari Murid K akan lambat hadir ke sekolah dengan alasan "saya makan tadi", "saya mandi tadi", "ayah saya baru nak solat" dan macam-macam lagi. Kebiasaanya aku akan menasihati beliau, tapi pada minggu tersebut keadaan mental dan emosi aku memang betul-betul tidak rasional jadi aku mengambil inisiatif untuk memberi denda pada beliau iaitu 100x ketuk ketampi. Murid K bersetuju dan denda tersebut dilaksanakan dengan pantauan ketua kelas. Suasana kelas pada hari kejadian dapat dikawal sepenuhnya, dengan murid-murid lain mendengar kata dan melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik. 

    Kejadian bermula pada petang khamis minggu yang sama pada tarikh 10 ogos 2023. Aku menerima satu pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenali yang menyatakan beliau sebagai penjaga kepada murid K iaitu puan S. Aku ringkaskan isi kandungan pesanan tersebut yang membawa maksud puan S inginkan penjelasan kenapa aku memberi denda 100x ketuk ketampi kepada murid K. Denda itu telah menyebabkan murid K mengalami kepenatan, sakit kaki yang teruk dan sakit dada(berdasarkan penjelasan puan S) dan ia memerlukan rawatan di klinik. Sebagai guru aku menjelaskan keadaan satu persatu dan pada mulanya aku menurunkan ego sebagai guru dengan memohon maaf atas khilaf aku kerana telah menyebabkan keadaan anaknya sebegitu. Aku akui terdapat kesalahan di pihak aku dimana aku tidak mampu mengawal emosi amarah ku tetapi aku juga mahukan permohonan maaf dari pihak mereka atas isu kelewatan masuk kelas.

    Hasil perbincangan kami, kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat dimana akhirnya puan S juga memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan oleh murid K. ketika mendengar voice note tersebut perasaan marah yang muncul pada awal perbualan hilang serta merta. Selain itu, puan S juga ada mencadangkan beberapa denda yang sesuai digunakan bagi menangani isu pelajar yang bermasalah. Cadangan tersebut aku ambil dengan hati yang terbuka malah ia satu celik akal bagi aku kerana aku tidak pernah terfikir untuk memberi denda sebegitu. Aku ucapakan terima kasih atas sikap dan toleransi yang ditunjukkan oleh puan S. Perbualan diakhiri dengan aku bertanyakan keadaan murid K dan puan S memberitahu bahawa keadaan murid K semakin baik.

    Dan pada hari ini 21 ogos 2023, sedang aku leka mengajar di kelasku tiba-tiba guru kelas lain datang dan memberitahu bahawa murid K telah dipindahkan ke kelas yang lain. Aku terkejut kerana aku tidak mendapat apa-apa notis dari pihak atasan ataupun dari pihak penjaga. Jujur aku akui aku sedikit terasa dan aku merasakan bahawa ibunya tidak mahu aku mengajar anaknya lagi. Aku boleh rasakan perasaan marah yang tiba-tiba hadir tetapi pada luarannya aku tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Hanya tuhan yang tahu bertapa sakitnya hati aku sebagai cikgu. Setelah perbincangan aku selesai aku duduk di meja guru untuk cuba menenangkan fikiran dan perasaan marahku. Dalam keadaan begitu aku mencapai handphone dan cuba membuka aplikasi whatsapp. Rupa-rupanya puan S sudah memaklumkan perkara tersebut bahwa murid K akan berpindah ke kelas yang lain. Aku duduk termenung di meja guru dan aku merasakan bahwa sia-sia sahaja perasaan amarahku tadi rupanya silap itu datang dari pihakku. Membaca pesanan dan makluman ringkas puan S menunjukkan beliau masih menghormati diriku sebagai guru kelas tersebut dan perkara ini membuatkan aku merasa senang hati dan gembira. Walaupon ada beberapa perkara yang negatif berkaitan murid K yang belum aku ceritakan pada puan S tetapi aku cuba memaafkan kesalahan tersebut dan cuba melupakannya. Kerana bagi aku, kesihatan mental dan emosiku lebih penting dari memikirkan perkara yang lalu.

Maka tamatlah kisah 100x ketuk ketampiku.

Wednesday, 9 August 2023

Suatu Yang Pernah

 “Sometimes I wish I could just rewind back to the old days and press pause..just for a little while”

-Anonymous-


The Broken Heart,

2019 vs 2023.

Lima tahun dulu tak pernah terfikir untuk jatuh sayang dekat insan yang bernama lelaki. Dan tak pernah terfikir satu hari nanti dia akan jadi yang terpenting dalam hidup dimana aku berimpian membina satu hubungan yang lebih serius bersama dia. Selama lima tahun menunggu, berapa banyak doa yang aku dah panjatkan pada tuhan, beratus bisikan yang aku selitkan, berapa banyak harapan yang aku inginkan tiba-tiba musnah dengan satu perkongsian di laman instagram beliau

" My wife makes the best pancakes 💓"

Kalau aku cakap aku tak sedih, sumpah aku tipu. Kalau aku cakap aku dah move on, hanya tuhan yang tahu bertapa hancur dan kecewa hati aku ni. Sedangkan waktu menulis cerita ini beribu perasaan aku cuba ungkapkan tapi tiada satu perkataan yang sesuai untuk aku gambarkan. Lagu-lagu sedih tiba-tiba bermain di playlist aku seolah-olah turut merasakan apa yang ada dalam hati.

Ini adalah cerita aku. Cerita tentang sayang yang tak pernah terungkap. 

Aku kenalkan beliau sebagai A. Kenapa A? sebab itu initial nama dia. Pada awal perkenalan, kami hanya orang asing dimana aku sebagai pesakit dan dia sebagai petugas di waktu itu. Masih ingat cerita kami? Ya cerita yang aku pernah kongsikan pada kalian di entri sebelum ini dimana aku dimasukkan ke dalam wad disebabkan oleh appendik. Ye dia adalah lelaki yang sama. Sepanjang perkenalan kami di media sosial, tak banyak cerita yang kami kongsikan. Hanya sekadar berbasa basi, bertanya khabar dan juga ucapan hari jadi dan hari raya yang menjadi penghubung kami untuk saling berkomunikasi. Sudah tentu dalam situasi ini aku yang paling beria kerana aku hanya seorang asing yang tiba-tiba jatuh suka pada dia yang hanya menjalankan tugasnya sebagai doktor. 
    

Dalam ramai lelaki yang hadir dalam hidup aku, Dia diantara yang paling istimewa kerana tiada satu ahli keluarga, kawan-kawan atau kenalan rapat aku yang tahu kisah ini. Aku tutup serapat-rapat yang mungkin cerita kami dan aku hanya berkongsi dan bercerita pada tuhan yang satu. Bagi aku rahsia ini akan ku bawa sampai mati kononnya. Akan tetapi, aku hanya manusia biasa yang jiwa nya rapuh apabila sesuatu kesukaanku diambil dariku. Semalam 07/08/2023 tarikh dimana aku mengetahui dia sudah menjadi milik orang. Hati aku sebu, dan untuk menghilangkan rasa itu aku cuba menangis dan ia berjaya. Tapi sedih tu tak hilang seolah-olah perasaan untuk menerima itu tiada. Jadi aku cuba berkongsi dengan sahabat baikku, tapi, ada satu perasaan yang menghalang dari aku bercerita dengan lebih mendalam tentang dia. Dan kerana itu, aku decide untuk luahkan perasaan di dalam entri kali ini.

Dulu aku rajin gila update media sosial aku sebab aku nak atrract attention dia, tujuan aku nak bagitahu bahawa aku masih wujud dalam hidup dia. Dia tak reply atau komen aku tk kisah yang penting bila aku post something, dia ada baca. Masa tu aku crush teruk dengan dia. Sampai satu saat aku jadi penat dan aku tk nak hidup macam tu. Jadi aku decide untuk lepaskan dia dalam jagaan tuhan. Hati aku lapang dan setiap kali aku lalu depan tempat kerja dia aku akan doakan dia. kenapa aku cakap dia paling istimewa, sebab nama dia yang paling banyak aku sebutkan setiap malam pertiga, setiap istikharah yang aku hidupkan setiap waktu doa dimakbulkan jadi dia memang betul-betul aku letakkan dalam hatiku. Macam aku cakap entri sebelum ni, bila aku kata ya tapi tuhan punya rencana lain, siapalah aku yang cuma hamba ingin persoal takdir?

    Suka ingin aku sebutkan, kesalahan ini adalah dari pihak aku. Sepanjang aku mendoakan dia, banyak peluang yang tuhan bagi untuk aku luahkan perasaan. Malangnya aku tiada keberanian dan bagi aku perasaan yang ingin diungkapkan belum sesuai lagi waktunya. Jadi aku ambil keputusan untuk diam dan hanya mendoakan dia dari jauh. Waktu itu keyakinanku tinggi yang dia akan jadi milikku tetapi impian hanya tinggal kenangan, doa aku tak seteguh dan sekuat doa isterinya. Aku kalah dengan wanita yang berjaya menjadi isterinya sekarang. melihat raut wajah dan senyuman yang diukirkan melalui gambar di laman instagram menunjukkan bahwa dia sudah bahagia. Bahagia dengan pujaan hatinya. 

    Aku? aku hanya penunggu setia, yang menunggu waktu untuk menerima kekalahanku dalam memperjuangkan takdirku bersama dia. Akan kucuba berlapang dada untuk menerima takdir ini. Aku tuliskan doa dan harapan untuk dia yang pernah menjadi sebahagian dalam doa harianku agar bahagia bersama keluarga barunya. Ku panjatkan doa agar dia menjadi sebaik-baik lelaki yang mampu menjaga dan mencintai isteri dan keluarga sebagai mana dia mencintai pencipta dan agamanya. Tidak lupa doa buat diri ini agar menerima apa yang telah direncanakan tuhan. Dan buat kalian yang membaca penulisan ini terima kasih untuk doa dan masa yang telah kalian luangkan hanya untuk membaca luahan bodoh ini. 

" Do not lose hope, Nor be sad" 
(3:139)


Terima kasih kerana menjadi suatu yang pernah membahagiakan <3