Monday, 21 August 2023

Kisah 100x ketuk ketampi

In learning you will teach, and in teaching you will learn
-Phil Collins-


Aku nak ceritakan satu kisah yang bagi aku ia sedikit sebanyak mencabar ego, memberi aku celik akal dan perasaan yang bercampur baur. Ini kisah aku...........

    Untuk pengetahuan kalian sekarang ni aku kerja sebagai guru kafa di sekolah rendah di satu daerah ini dan baru bekerja kurang dari dua tahun. Buat masa sekarang aku ditugaskan untuk mengajar murid darjah dua sahaja. Sini aku kenalkan pada kalian dengan murid aku dimana isu yang dihadapi oleh kami telah mencetuskan kisah 100x ketuk ketampi ni. Aku kenalkan beliau sebagai murid K. Perwatakkan murid K ni agak pendiam, cuma bising pada waktu tertentu sahaja, bagi aku dia seorang budak yang mudah dijaga dan boleh mendengar kata. Mungkin dia bersikap begitu kerana takutkan aku agaknya. Walaupon beliau kelihatan pendiam tetapi beliau juga merupakan pelajar yang agk nakal dan suka bergurau kasar. Antara kesalahan yang pernah beliau lakukan ialah mengejek kawan-kawan, mencarut dan juga pernah menanggalkan seluar di dalam kelas dengan alasan beliau hanya bergurau sahaja. Kehidupan murid K ni aku boleh letakkan sebagai golongan t20. Ibu bapanya orang yang berpelajaran dan bekerja dalam bidang profesional macam tu.

    Alkisahnya, cerita ni jadi pada 2 minggu lepas dimana ia bermula apabila murid K ni hadir ke sekolah lewat 35 minit. Kelas kami akan bermula pada pukul 2 petang dan tamat pada pukul 5 petang. Memandangkan beliau lambat masuk kelas jadi perkara ini membuatkan aku sebagai cikgu beliau naik angin. Isu ini bukan sekali dua malah hampir setiap hari Murid K akan lambat hadir ke sekolah dengan alasan "saya makan tadi", "saya mandi tadi", "ayah saya baru nak solat" dan macam-macam lagi. Kebiasaanya aku akan menasihati beliau, tapi pada minggu tersebut keadaan mental dan emosi aku memang betul-betul tidak rasional jadi aku mengambil inisiatif untuk memberi denda pada beliau iaitu 100x ketuk ketampi. Murid K bersetuju dan denda tersebut dilaksanakan dengan pantauan ketua kelas. Suasana kelas pada hari kejadian dapat dikawal sepenuhnya, dengan murid-murid lain mendengar kata dan melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik. 

    Kejadian bermula pada petang khamis minggu yang sama pada tarikh 10 ogos 2023. Aku menerima satu pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenali yang menyatakan beliau sebagai penjaga kepada murid K iaitu puan S. Aku ringkaskan isi kandungan pesanan tersebut yang membawa maksud puan S inginkan penjelasan kenapa aku memberi denda 100x ketuk ketampi kepada murid K. Denda itu telah menyebabkan murid K mengalami kepenatan, sakit kaki yang teruk dan sakit dada(berdasarkan penjelasan puan S) dan ia memerlukan rawatan di klinik. Sebagai guru aku menjelaskan keadaan satu persatu dan pada mulanya aku menurunkan ego sebagai guru dengan memohon maaf atas khilaf aku kerana telah menyebabkan keadaan anaknya sebegitu. Aku akui terdapat kesalahan di pihak aku dimana aku tidak mampu mengawal emosi amarah ku tetapi aku juga mahukan permohonan maaf dari pihak mereka atas isu kelewatan masuk kelas.

    Hasil perbincangan kami, kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat dimana akhirnya puan S juga memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan oleh murid K. ketika mendengar voice note tersebut perasaan marah yang muncul pada awal perbualan hilang serta merta. Selain itu, puan S juga ada mencadangkan beberapa denda yang sesuai digunakan bagi menangani isu pelajar yang bermasalah. Cadangan tersebut aku ambil dengan hati yang terbuka malah ia satu celik akal bagi aku kerana aku tidak pernah terfikir untuk memberi denda sebegitu. Aku ucapakan terima kasih atas sikap dan toleransi yang ditunjukkan oleh puan S. Perbualan diakhiri dengan aku bertanyakan keadaan murid K dan puan S memberitahu bahawa keadaan murid K semakin baik.

    Dan pada hari ini 21 ogos 2023, sedang aku leka mengajar di kelasku tiba-tiba guru kelas lain datang dan memberitahu bahawa murid K telah dipindahkan ke kelas yang lain. Aku terkejut kerana aku tidak mendapat apa-apa notis dari pihak atasan ataupun dari pihak penjaga. Jujur aku akui aku sedikit terasa dan aku merasakan bahawa ibunya tidak mahu aku mengajar anaknya lagi. Aku boleh rasakan perasaan marah yang tiba-tiba hadir tetapi pada luarannya aku tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Hanya tuhan yang tahu bertapa sakitnya hati aku sebagai cikgu. Setelah perbincangan aku selesai aku duduk di meja guru untuk cuba menenangkan fikiran dan perasaan marahku. Dalam keadaan begitu aku mencapai handphone dan cuba membuka aplikasi whatsapp. Rupa-rupanya puan S sudah memaklumkan perkara tersebut bahwa murid K akan berpindah ke kelas yang lain. Aku duduk termenung di meja guru dan aku merasakan bahwa sia-sia sahaja perasaan amarahku tadi rupanya silap itu datang dari pihakku. Membaca pesanan dan makluman ringkas puan S menunjukkan beliau masih menghormati diriku sebagai guru kelas tersebut dan perkara ini membuatkan aku merasa senang hati dan gembira. Walaupon ada beberapa perkara yang negatif berkaitan murid K yang belum aku ceritakan pada puan S tetapi aku cuba memaafkan kesalahan tersebut dan cuba melupakannya. Kerana bagi aku, kesihatan mental dan emosiku lebih penting dari memikirkan perkara yang lalu.

Maka tamatlah kisah 100x ketuk ketampiku.

No comments:

Post a Comment